BUDI

Si angsa berenang sasa,
Si kedidi hingga di titi,
Dari bahasa dikenal bangsa,
Dari budi dikenal hati.

Pokok pedada dahan meninggi,
Tumbuh berbunga di pinggir laman,
Budi bahasa hiasan diri,
Itulah tanda orang beriman.

Hilir mudik mencari bemban,
Letak tersorok di Gunung Serapi,
Ilmu baik dijadikan teladan,
Segala yang buruk letak di tepi.

Limau purut di tepi pagar,
Pucuk jampang di dalam belukar,
Cakap diikut nasihat didengar,
Fikiran panjang hati penyabar.

Burung kelit membuat sarang,
Hinggap berdua di pohon padi,
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa belahan hati.

Buah betik buah petola,
Campur cuka gulai bercili,
Perkara tak baik usah dicuba,
Nanti merana diri sendiri.

Labu tua dibuat pengat,
Dara tersenyum tika merasa,
Badan muda biar beringat,
Sementara belum rosak binasa.

Anak Benggali berkain kasa,
Benang sutera berwarna merah,
Sudah berbudi lagi berbahasa,
Itu namanya bestari bertuah.

Patinggi Ali pahlawan perkasa,
Pangiran Badruddin berdarah bangsawan,
Budi pekerti kebanggaan bangsa,
Ikatan terjalin maruah dipertahan.

Pasang kajang perahu kolek,
Kolek berselut ke Kuala Tatau,
Kalau memang benih yang baik,
Jatuh ke laut menjadi pulau.

Malam dingin pasang pelita,
Pasang sampai ke rumah Pak Mat,
Kalau ingin aman bahagia,
Jauhkan perangai dengki khianat.

Naik perahu mudik ke hulu,
Singgah turun menebar jala,
Kalau nak tahu anak Melayu,
Bersopan santun mulia hatinya.

Tampi padi di dalam nyiru,
Padi subur diberi baja,
Tinggi pekerti anak Melayu,
Bakti ditabur damai dicipta.

Kalau ada si pinang muda,
Pinang tua tidak berguna,
Anak muda pewaris bangsa,
Pupukkan budaya mengenang jasa.

Burung kedidi terbang berlima,
Anak tekukur di pohon selasih,
Bangsa yang tinggi nilai budinya.
Tahu bersyukur dan berterima kasih.

Tuai padi berdahan muda,
Padi pandan harum baunya,
Nilai murni warisan bangsa,
Menjadi amalan menuju bahagia.

Baju batik corak berbunga,
Dipakai hari aneka warna,
Melayu dididik berakhlak mulia,
Agar menjadi warga berwibawa.

Semai padi disenja hari,
Cuaca suram hujan tak jadi,
Nilai murni budaya tinggi,
Diterap dalam pendidikan berstari.

Buat bauhulu berisi inti,
Cucur cempedak tepung diuli,
Sesalnya aku menjadi lelaki,
Kalau tidak menunai janji.

Kain sutera anggun menawan,
Mari ditekad buat hiasan,
Miskin dan kaya jangan kita bezakan,
Dengki khianat jangan kita amalkan.

Berjalan ke dusun menanam halia,
Halia muda rimbun sekali,
Sopan santun amalan mulia,
Tanda budaya bangsa pun tinggi.

Berjalan sang kancil di pinggir taman,
Mencari makanan di hutan belantara,
Insan yang kami ingin dilahirkan,
Melalui wawasan pendidikan negara.

Burung tempua bersarang tinggi,
Hinggap seketika dipihon meranti,
Wahai remajha bijak bestari,
Janganlah leka dibuai mimpi.

Ciptaan dari :Abang Seruji Abang Muhi





SETIA KASIH

Delima merah di balik daun,
Buah berangan di kebun mama,
Dengan Bismillah memulakan pantun,
Buat renungan kita bersama.

Buah berangan di dalam raga,
Bunga cengkihdi rumpun padi,
Buat renungan tuan yang mulia,
Tanda kasih setia berbakti.

Sambal peria si pucuk geti,
Untuk santapan duduk semeja,
Tanda setia kepada pertiwi,
Sanggup berkorban apa sahaja.

Sekapur sirih dubuat bekal,
Pinang seulas diatas peti,
Anyaman kasih hamparan ambal,
Buat mengalas penghargaan kami.

Bunga dipuja setiap ketika,
Amat indah si mawar putih,
Negara Malaysia tanah pusaka,
Tempat mencurah taat dan kasih.

Amat indah paginya suria,
Seisi dunia rasa terpaku,
Tempat mencurah taat setia,
Itulah dia tanah airku.

Minta mukun diberi mukun,
Mukun ada bunga selasih,
Minta pantun kuberi pantun,
Pantun tanda setia kasih.

Mukun ada bunga selasih,
Bunga kemboja di tapak tangan,
Pantun tanda setia kasih,
Budaya bangsa zaman berzaman.

Pokok Palah batang berduri,
Patah tersisih ditepi paya,
Pantun dipersembah di pelosok negeri,
Setia kasih pertahankan budaya.

Sayang Labuan pulau di laut,
Bandarnya bersih indah menawan,
Salam tuan sudah disambut,
Tanda kasih setia kawan.

Dato Adenan pemimpin bestari,
Berjasa berbakti kepada negara,
Selagi ada bulan dan matahari,
Setia kami untukmu Malaysia,

Pak Mat ke Kuala Oya,
Pak Harun ke Kuala Deli,
Kalau rakyat tidak setia,
Bagai meracun diri sendiri.

Cenderawasih berbalung merah,
Terbang mara ke pohon sena,
Setia kasih menjunjung perintah,
Demi negara kupertahankan nyawa.

Mengangkat buah di tepi pangkalan,
Bawa berniaga di bulan puasa,
Semangat Hang Tuah menjadi ikutan,
Setia kepada raja dan negara.

Sinaran mentari menyinari bumi,
Cahaya redup hujan tak jadi,
Kesetiaan kami suci dan murni,
Dari hidup sampai mati.

Wira menyanyi Bahtera Merdeka,
Perasaan bangga di lubuk jiwa,
Pemuda pemudi di negara jaya,
Kesetiaan bangsa untuk Malaysia.

Bunga selasih di dalam raga,
Buat ubat puteri rupawan,
Kalau kasih sesama kita,
Hidup berkat dirahmati Tuhan.

Cempaka biru kembang di taman,
Tersemat di baju gadis rupawan,
Setia Melayu sepanjang zaman,
Demi Tuanku Duli Yang Dipertuan.

Bulan purnama memburu rusa,
Turun membawa panah berbisa,
Bukan tandanya Melayu tak setia,
Walaupun dikata mudah lupa.


Hasil tulisan : Abang Seruji Abang Muhi





















Saya dan rombongan sekolah pergi lawatan ke Singapura pada 24.10.2011 hari Isnin.Kami bertolak pada pukul 7 pagi sebanyak 2 bas semuanya. Walaupun aku tahu matawang disana besar nilainya tetapi bagiku peluang untuk melihat negara orang mungkin hanya sekali bagiku.Ini adalah pertama kali aku ingin menjejaki bumi negara Singapura.
Tujuanku hanya sekadar untuk melihat negara orang,mencari pengalaman, membuka minda melihat dunia luar sambil melawat tempat yang menarik. Kami terpaksa melalui 2 tempat imegresen sebelum betul-betul melepasi sempadan negara itu. Imegresen Johor Baharu dan juga Imegresen Singapura. Bukan mudah untuk memasuki negara orang. Tetapi itu semua pengalaman yang berharga buat diriku.

Lama sudah aku tidak menulis diblogku ini...Hampir setahun.Mungkin aku sibuk setelah berumahtangga. Rindu untukku menulis,mencoret apa yang bermanfaat buat tatapan teman-teman...Terima kasih melayari blog ini...
MUTIARA DOA

DOA KETIKA SUKAR MENYELESAIKAN SESUATU URUSAN
“ WAHAI TUHANKU, tiada yang mudah melainkan apa yang telah engkau jadikannya mudah dan Engkau menghapuskan dukacita dengan mudah jika Engkau kehendaki.”

DOA KETIKA MENDENGAR KEMATIAN ATAU KEMALANGAN
“ BAHAWASANYA kami kepunyaan Allah dan bahawasanya kami pasti kembali kepada-Nya.”

DOA MENGELAK MUDARAT
“ DENGAN nama Allah yang dengan nama-Nya itu tidak mendatangkan mudarat sesuatu pun sama ada di langit atau di bumi dan Dialah Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

DOA MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA PENYAKIT BERAT.
“ WAHAI Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit berat.” (Riwayat Abu Daud)

DOA MEMOHON KESIHATAN TUBUH BADAN ( Dibaca pada waktu pagi dan petang).
“ YA ALLAH, kurniakanlah kesihatan pada badan hamba, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada telinga hamba, Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada mata hamba, Ya Allah , hamba berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kepapaan, Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu daripada kesengsaraan azab kubur, tiada Tuhan melainkan Engkau.”

DOA ANAK UNTUK IBU BAPA
“ YA ALLAH, ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendididkku ketika kecil.”

DOA KETIKA KELUAR RUMAH
“ DENGAN NAMA ALLAH ( aku keluar). Aku bertawakal kepada-Nya dan tiada daya upaya kecuali dengan izin Allah.”

“DENGAN NAMA ALLAH (dalam keadaan) aku menyerahkan diri kepada Allah, tiada daya upaya ( dalam segala urusan) melainkan dengan Allah jua.”

“ YA ALLAH. Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu, jangan sampai aku sesat dan disesatkan ( syaitan atau orang yang berwatak syaitan) , berbuat kesalahan atau disalahi, menganiaya atau dianiaya (orang) dan bodoh atau dibodohi”.


DOA MASUK RUMAH
“ DENGAN NANA ALLAH kami masuk (ke rumah), dengan nama Allah, kami keluar (darinya) dan kepada Tuhan kami, kami bertawakal.”


DOA MEMOHON PERLINDUNGAN DARIPADA KEJAHATAN SEMUA MAKHLUK.
“YA ALLAH, TUHAN KAMI, Engkau Tuhan, Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Kepada Engkau kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan Arasy yang Maha Besar.

Sesuatu yang dikehendaki Allah pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki Allah pasti tidak akan berlaku. Tiada daya upaya dan tiada sebarang kekuatan yang dapat menjaya dan menggagalkan sesuatu melainkan dengan keizinan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.Kami mengetahui sesungguhnya Allah atas tiap-tiap sesuatu amat berkuasa.Dan, sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya pada tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah, Tuhan kami. Sesungguhnya kami memohon berlindung dengan Engkau daripada kejahatan dan keburukan pada diri kami dan daripada kejahatan tiap-tiap makhluk yang melata (jin, syaitan, binatang dan manusia). Engkaulah yang mengawasi ubun-ubunnya (segala gerak geri). Sesungguhnya Tuhan kami di atas jalan yang benar.

Dan cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad s.a.w dan atas keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

Amalkan membaca doa ini selalu, jika tiada kesempatan pun seumur hidup. Insya-Allah akan terhindar dari penyakit yang berbahaya.
Menurut riwayat, doa ini adalah menjadi amalan abi Darda , seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang didapatinya daripada baginda.
Sungguh cantik pokok dan bunga-bunga kaktus ini semua. Kami berasa seperti di satu kawasan gurun pasir yang penuh dengan pokok kaktus. Di Taman ini kami mengabadikan foto kenangan bersama teman-teman sekerja.







Inilah Taman Kaktus yang amat saya sukai di sekolah SMK.Dato Sulaiman.Pokok-pokok kaktusnya sangat cantik dan telah berusia hampir 10 tahun. Terdapat pelbagai jenis spesis kaktus yang terdapat di Taman kaktus ini. Kadangkala agak sukar untuk kita melihat pokok kaktus yang boleh mengeluarkan bunga,tetapi saya berpeluang melihat sendiri bunga-bunga kaktus di taman ini.

Kini Taman Kaktus ini sudah tiada dan foto ini diambil sebagai satu-satu kenangan untuk tatapan semua teman-teman.



Taman Kaktus SMKDS.
2010







KISAH TELADAN 2

ANTARA KELUHAN DAN KESABARAN


Setelah Abu Hassan mengerjakan ibadah haji,tiba-tiba dia terpandang seorang wanita yang berseri mukanta lalu berkata, “ Demi Allah, aku tidak pernah melihat wanita yang berseri wajahnya sebelum ini, tentu dia tidak pernah manghadapi sebarang masalah.”

Mendengar kata-kata itu, wanita itu menjawab, “Apa yang kamu katakana itu tidak betul, aku sendiri sedang menanggung penderitaan yang amat sangat dan dalam masalah ini tiada siapa yang boleh dipersalahkan.”

“Bagaiman terjadi demikan?” Tanya Abu Hassan.

Jawab wanita ini, “Suatu hari suamiku telah menyembelih seekor kambing dengan disaksikan oleh keempat-empat anakku. Seorang telah berkahwin, dua masih kanak-kanak dan yang bongsunya masih menyusu. Berkatalah anakku yang tengah kepada adiknya, “ Kamu ingin tahu bagaimana ayah kitamenyembelih kambing?” Si adik mengangguk. Maka dilentangkan adiknya lalu disembelih. Melihatkan darah yang mengalir, ia menjadi takut lalu lari ke dalam hutan. Akhirnya ia dimakan oleh serigala di sana. Suamiku yang pergi mencarinya di hutan turut meninggal kerana kehausan. Aku pun keluar dari rumah untuk mencari suamiku dengan meninggalkan anak kecil. Anak ini pun merangkakke dapur lalu ditariknya periuk yang sedang mendidih maka tersimbahlah air panas ke badannya dan dia mati di situ.Berita ini sampai kepada anakku yang tua. Kerana terkejut ia jatuh pengsan lalu mati. Kini tinggallah aku sebatang karta.”

Soal Hassan lagi, “ Bagaiman kamu boleh bersabar dengan pelbagai ujian yang maha hebat ini?”

Jawab wanita ini, “Sesungguhnya antara kesabaran dan keluhan adalah dua jalan yang berbeza. Sabar adalah dengan memperbaiki batianiah, membersihkan hati serta menerima segala sesuatu itu kerana Allah. Adapun mengeluh adalah sifat dan tanda orang yang tidak ikhlas kepada Allah.”

Ini merupakan kisah teladan yang menarik buat saya untuk di jadikan sebagai teladan dan pedoman dalam kehidupan kita. Sesungguhnya kita tidak dinafikan setiap manusia akan menghadapi pelbagai ujian dalam hidup ini. Semoga kisah ini dapat menjadi pengajaran dan peringatan buat kita semua. Antara keluhan kesabaran itu adalah dua jalan yang berbeza.